Monday, June 11, 2012

Datang dan Pergi mu

Assalamualaikum semua rakan blogger.

Sedih dan sayu sangat rasa hati untuk menaip entri malam ini. Sedang aku menghitung hari bergelar raja sehari, seluruh ahli keluarga disapa dengan ujian hebat. Hilang rasanya matahari yang bersinar, berganti hujan lebat dengan guruh berdentum di sana-sini. Allah Maha Berkuasa, Maha Pemberi Nyawa juga mengambilnya kembali.

07 Jun 1937 lahir seorang hamba Allah ke dunia dengan diberi nama Md Ali bin Abdullah. Di tarikh yang sama, 07 Jun 2012, beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi keluarga tercinta. 

Gambar terakhir aku bersama arwah atok pada hari raya aidilfitri tahun lepas

Atok pergi selama-lamanya menghadap Yang Maha Pencipta. Pagi Khamis itu, kami di rumah menerima panggilan dari mak supaya lekas pergi ke rumah atok. Katanya, atok sakit kuat. Sampai di sana, atok baring lesu, dengan nafas tersekat-sekat, menahan batuk. Atok memang kurang sihat kerana batuk. Semua ahli keluarga dihubungi supaya pulang.

Rasanya, terlalu sekejap aku melihat atok batuk-batuk, bila tiba-tiba pakcik aku menangis laju sambil menutup muka atok dengan kain putih. Wajah atok bersih. Urusannya lancar dan cepat. Semoga Atok tenang di sana. 



+ _ + terima kasih sudi baca entri aku. sila komen dan jemput datang lagi. + _ +

Sunday, June 3, 2012

Kembara Mencari Cinta

Assalamualaikum semua rakan blogger.


Terlalu lama tidak menanam pokok di tanah lapang ini. Hari ini, ingin sekali rasa hati mengembara di tanah lapang meninjau-ninjau bunga kiranya ada yang mekar di taman. Wah, ayat intro sangatlah bermadah-madah.


Alhamdulillah, aku telah selesai menjalani latihan praktikum pada 30 Mei yang lalu. Ini adalah praktikum yang paling best bagi aku kalau nak dibandingkan masa diploma dulu. Cuma, sekarang ni adalah masa untuk aku berhempas-pulas menyiapkan laporan sebelum aku betul-betul merdeka dari gelaran PELAJAR. Adakah ini kemerdekaan yang aku inginkan? Tentunya tidak. Jika ada rezeki dan peluang, pasti aku akan sambung lagi pelajaran. InsyaAllah.




Kembara aku teruskan lagi. Mencari cinta yang aku harapkan hingga ke syurga abadi milik Yang Esa. Aku berbesar hati menjemput rakan-rakan blogger yang selalu datang menghendap blog usang ni ke Majlis Perkahwinan aku. Bagi yang ada kelapangan masa dan berbesar hati untuk hadir, boleh lah tinggalkan alamat. InsyaAllah, aku akan pos kad. Majlis akan berlangsung pada 30 Jun 2012, hari Sabtu. Doakan semuanya berjalan lancar.


+ _ + terima kasih sudi baca entri aku. sila komen dan jemput datang lagi. + _ +

Tuesday, May 15, 2012

Faktor 'X' untuk menyintai

Assalamualaikum semua rakan blogger.

Lama sungguh rasanya aku menyepi dari berada di sini. Ini kali pertama aku menulis entri sejak blog berwajah baru. Agak kekok, tapi, demi blog yang disayangi, aku kenalah belajar. Belajar untuk lebih mencintai tiap pembaharuan yang ada di depan mata, tidak kiralah sama ada ianya kebaikan mahupun keburukan. Itupun kalau kita mahu bertahan lama dengannya.

Kebosanan dan keletihan mengasingkan resume-resume pemohon untuk jawatan kosong yang dibuka di tempat praktikal membuatkan aku mengarang sesuatu di sini. Mungkin ini satu terapi buat aku. Asalkan tidak terkantoi dek CCTV, teruskan sajalah labu. :P

Tajuk di atas telah lama berlegar dalam kepala aku. Entah kenapa, aku asyik mencari dan mencari.


Perlukah kita mencari faktor 'X' dalam apa pun perkara untuk membuat kita terus menyintai dan dalam keadaan jatuh cinta?

Apa pendapat korang semua? Tipu kalau aku kata, aku tak pernah jatuh cinta. Tapi, aku jarang mencari faktor 'X' yang membuatkan aku boleh jatuh cinta. Sebabnya, hati aku sendiri yang mengada-ngada terdetik untuk menyintai tanpa perlu dipaksa. Kenapakah ayat aku terlalu jiwang? Abaikan.

Aku percaya satu perkara. Kalau kita menyintai kerana sesuatu, dan bila mana sesuatu itu hilang, pasti kita akan mula membenci. Dan bukan mudah juga sebenarnya nak mencari satu faktor yang boleh membuat kita menyintai dan terus menyintai.

Tapi, timbul pula persoalan. Macam mana nak terus menyintai kalau tiada apa-apa faktor? Apakah pendorong untuk terus bercinta? Ah, masalah cinta memang tiada jawapan dan sukar ditafsirkan. Hanya Allah yang memegang segala rahsia cinta.


+ _ + terima kasih sudi baca entri aku. sila komen dan jemput datang lagi. + _ +

Friday, March 30, 2012

Kemalangan

Assalamualaikum semua rakan blogger.

Buat pertama kalinya, aku meng'update' blog dari ofis sejak berpraktikal. Gara-gara kejadian awal pagi tadi yang telah meragut keharmonian dan ketenteraman aku hari ini pastinya.

Hujan lebat yang melanda lembah kelang sejak awal pagi tadi telah membuatkan beberapa kawasan banjir dan menjadi tempat takungan air. Tak kurang juga, banyak jalan yang becak.

Aku keluar awal dari rumah menuju ke ofis. Ntah kenapa, sejak dari katil, aku rasa semacam. Bunyi alarm hp aku matikan tanpa perasaan, terus saja tarik kembali selimut. Suasana sejuk sangat membuai untuk teruskan tidur. Tapi, ketukan kuat di pintu dengan jeritan suara mak membuatkan aku terpaksa gagahkan mata untuk dibuka.

Selepas bersiap, keluar dari rumah, payung aku tak ada di tempat biasa. Mulalah aku membebel-bebel. "Ada je orang yang ambil barang aku nie. Banyak-banyak payung kat sini, kenapa lah payung aku jugak yang diambil. Apa pun tak boleh !". Bersusah-payah aku menempuh hujan untuk ke tempat parking kereta, tiba-tiba aku nampak payung yang dicari ada kat situ. Huh, tekanan rasa bila dah basah-basah dan sejuk-sejuk nie. Tak apalah, pagi-pagi jumaat nie bermandikan hujan. Sekali-sekala, apa salahnya.

Aku pun memandu kereta dengan sangat berhemah pagi ni, sebab jalan licin dan pandangan yang kurang jelas. Ditambah pula dengan kerabunan mata dan juga pening yang dah masuk hari ketiga tak hilang-hilang. Tekanan darah aku menurun lagi nampaknya. Di saat-saat kritikal nie, mungkin aku terlalu banyak berfikir.

Sampai kat jalan nak turun bukit (selepas dataran shah alam depan library tue), aku pun slow kan kereta. Tiba-tiba, DANGGG !!!. Allahuakbar. Aku langgar belakang kereta Saga warna kelabu. Sungguh, aku tak perasan kereta tue sebab warna dia sama dengan warna langit yang mendung. Pertama kali aku melanggar kereta orang lain sejak aku dapat lesen. Sebelum nie, hanya kes aku dilanggar saja.

Makanya, aku pun berhenti tepi, dan keluar dari kereta. Buat kali kedua aku kebasahan dalam hujan. Betul-betul hujan rahmat pagi ini. Plat kereta aku ntah terbang ke mana. Semoga lelaki budiman itu tidak membuat report dan urusannya berjalan lancar. Terima kasih juga kerana tidak membuat sebarang tuntutan. Sungguh, aku mohon maaf. Aku tak nampak ada kereta di depan aku.

Aku rasa tak sedap hati dan tak sedap badan. Perasaan yang bercampur-baur. Nak balik rumah petang nie, kena makesure singgah kedai beli plat dulu.


+ _ + terima kasih sudi baca entri aku. sila komen dan jemput datang lagi. + _ +

Thursday, March 15, 2012

Salam Belasungkawa Buat yang Berjasa

Assalamualaikum semua rakan blogger.


Mood untuk mengupdate blog memang ke laut sejak kebelakangan ni. Aku tak tahu kenapa seperti tiada satu pun berita mahupun cerita yang boleh dikongsikan bersama rakan blogger semua. Tapi, hari ini, aku tergerak hati untuk bercerita sesuatu di ruang yang selalu menjadi tempat aku meluah rasa.


Jumaat malam sabtu minggu lalu, sedang aku sibuk melayari laman sosial facebook, mata aku tertangkap satu status yang dipost oleh kawan sekolah aku. Berita pemergian jiran dia pada petang hari jumaat itu secara mengejut. Status itu betul-betul mengejutkan aku sebab arwah aku kenali sejak aku sekolah lagi.


Mulanya kerana anak-anak arwah dihantar mengaji di rumah aku. Mak aku yang ajar mereka. Tapi, kadang-kadang, aku atau adik lelaki aku yang menjadi pengganti bila mak aku ada hal. Dari situ, kami sekeluarga menjadi rapat dengan keluarga arwah. Apatah lagi, kelebihan yang ada padanya sebagai tukang jahit, setiap kali kami sekeluarga mahu menempah baju, pastinya rumah arwah yang dituju. Boleh dikatakan, hampir 100% baju kurung yang aku ada, adalah hasil jahitan arwah. Aku sempat berjumpa arwah lebih kurang sebulan sebelum pemergiannya, memberi kain untuk dijahit. Sedihnya, hari ini, aku melihat kain yang sama di ruang rumah tanpa sempat dijahit oleh arwah selepas mak pergi ke rumah arwah siang tadi, mengambilnya. Sebak pula aku rasa bila teringat arwah membelek kain tersebut sambil memberi cadangan untuk mendesign baju itu. Satu hari nanti, pasti aku sedih bila aku memakai baju itu walaupun dijahit oleh orang yang lain.


Isnin yang lepas, sampai sahaja aku di rumah selepas waktu kerja (praktikal), aku dikejutkan dengan satu mesej pesanan ringkas yang diterima daripada seorang senior persatuan.


"Makluman, Al-Fatihah, YM Tn Hj Ishak Itam telah kembali ke rahmatullah lepas asar sebentar tadi. Sila sebarkan".


Arwah ialah bekas Guru Utama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia. Tahun 2005, aku telah diijazahkan oleh arwah menjadi ahli persatuan ni. Ilmu yang diberi sangat berguna kepada aku untuk menjadi pelindung diri. Alhamdulillah, aku tamat belajar semua buah yang ada dan mengambil sijil rendah walaupun pada waktu itu, aku dalam keadaan sakit. Tapi, berkat dorongan semua tenaga pengajar, aku lulus. Alhamdulillah.


Di malam sijil rendah


Semoga roh mereka di tempatkan di kalangan orang yang beriman. Terima kasih kerana berjasa kepada aku. Semoga mereka aman di sana. Al-Fatihah.


+ _ + terima kasih sudi baca entri aku. sila komen dan jemput datang lagi. + _ +

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...