Sunday, March 20, 2011

Bersyukurkah aku?

Kenapa kita jatuh cinta? Kenapa ada rasa sayang? Kenapa ada rasa benci? Kenapa ada rasa menyampah? Kenapa ada rasa sakit hati? Kenapa? Kenapa? 


Semua pertanyaan itu ada jawapannya. Jawapannya ada dalam hati setiap manusia. Dikurniakan secebis rasa di dalam hati supaya dapat dinikmati dan disyukuri. Tak perlu dilambung tinggi-tinggi, kelak memakan diri sendiri. Tak perlu juga dipijak dialasi menggunakan kaki, nanti dikata tak tahu berbudi. Semua perlu sederhana.


Tapi, kenapa susah untuk bersederhana? Kenapa bodohkan diri sendiri? Kenapa rasa kecewa dengan apa yang kita lalui sedangkan kita yang memilihnya? 


Melihat orang lain tersenyum, gelak, indahnya hidup mereka. Tapi, mesti mereka ada yang berkata, "Luaran aku ceria, dalaman aku berduka. Tak siapa yang boleh menyangka." Sesungguhnya, manusia yang paling bahagia adalah manusia yang sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. 


Bersyukurkah aku dengan segala kurniaan-Nya?


+ _ + terima kasih sudi baca entri aku. sila komen dan jemput datang lagi. + _ +

Saturday, March 19, 2011

Temukan aku..

Kadang rindu di hati masih berbekas,
Kadang tawa di bibir masih diingati,
Kadang gelak ceria masih kedengaran,
Kadang teguran manja masih terngiang.

Lewat malam bakal melabuh tirai,
Putaran alam yang pasti,
Belum pernah mungkir dengan janji,
Sentiasa patuh dengan arahan Dia.

Sepi,
Bukan kerana menyendiri,
Tapi kerana menginsafi,
Tiap kejadian,
Tiap kelakuan,
Tiap perbuatan.

Temukan aku dalam redha-Mu,
Temukan aku dalam sayang-Mu,
Temukan aku dalam rahmat-Mu,
Temukan aku dengan-Mu Ya Allah,
Temukan aku dalam pertemuan penuh syumul,
Temukan aku dalam pertemuan penuh syahdu,
Biar aku bersyukur,
Biar aku mengadu,
Biarkan aku hanya dengan-Mu.


+ _ + terima kasih sudi baca entri aku. sila komen dan jemput datang lagi. + _ +

Saturday, March 12, 2011

Separuh Jiwaku Pergi

Bila terasa dunia gelap, apa sahaja berlaku di sekeliling tak akan memberi sebarang effect. Walaupun berada dalam kelompok orang bersuka ria, tapi, jiwa terasa kosong. Hilang semua seri yang pernah ada. Kenapa?


Aku muhasabah diri beberapa lama dan ketika. Saat terasa semua makin jauh, satu yang makin dekat. DIA Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Mujur DIA masih ada di sisi, dekat dan terus mendekati. Kadang seperti terasa biarlah aku diambil-Nya pergi. Astaghfirullah, kenapa aku menjadi sungguh lemah seperti tiada pedoman diri. Tiada siapa pun yang mengerti. Hanya DIA pencipta yang hakiki. Moga-moga, aku tak lalai dan tersasar. Ya Allah, lorongkan aku dalam jalan redha-Mu. Jangan sekali Kau biar aku tersesat seperti hamba-Mu yang terdahulu.


Kenapa tiada siapa memahami? Apa kehendak aku? Apa kehendak hati? Aku terpaksa berlakon untuk puaskan hati semua. Terpaksa bergembira untuk semua. Tapi, aku terasa sangat sedih dan sayu. Pengorbanan yang terpaksa dilakukan kadang-kala terlalu pahit untuk ditelan. Aku bahagia, mereka bahagia? Benarkah? Separuh jiwa aku pergi kini. Mungkin untuk selamanya. Kalau dulu, dia ada bersama saat aku suka dan duka tanpa aku rasa sangsi walau aku terpaksa berkongsi. Namun kini, semua pergi. Kenapa? Aku tak layakkah untuk bahagia? Sedang aku tahu, bahagia itu milik semua. Ya Allah, beri aku sinar. Beri aku yang serupanya, walau aku tahu, mungkin tiada yang sama.


+ _ + terima kasih sudi baca entri aku. sila komen dan jemput datang lagi. + _ +

Sunday, March 6, 2011

Kerana Itu Ia Dicipta



Hening,
Sunyi,
Sepi,
Suram,
Kelam,
Suasana hitam segenap alam.

Jeritan memekak tak lagi kedengaran,
Tekak kering dek angin sahara,
Tegak tubuh dek tulang belakang,
Lemah, lumpuh, terjatuh.

Semalam yang indah berseri,
Semalam yang menjadi saksi kau berdiri,
Jua semalam saksi kau ketawa menyeri,
Hilang kerana tiba hari ini,
Takkan berulang kerana inilah realiti.

Kerana itu ia dicipta,
Kerana itu mampu mengungkap segala,
Kerana itu pencerita ceritera,
Kerana itu paling berkuasa dicipta-Nya,
Kerana itu adalah air mata.

Kerana itu ia dicipta,
Tak perlu lagi aku bersuara,
Tak perlu lagi aku berlari berkata-kata,
Tak perlu lagi aku bangun membuka mata,
Tak perlu lagi aku cerita pada semua,
Kerana air mata,
Kamu tahu segala.

Biar ia mengalir,
Deras air terjun turun di pipi,
Biar ia habis,
Bak perigi kontang tak berfungsi lagi,
Biarkan ia,
Biar ia sampai bila-bila,
Biar ia tanpa diseka,
Kerana kini si pembahagia jiwa,
Kerana kini mereka sudah tiada.


+ _ + terima kasih sudi baca entri aku. sila komen dan jemput datang lagi. + _ +

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...