Showing posts with label Keluarga. Show all posts
Showing posts with label Keluarga. Show all posts

Thursday, September 29, 2016

Ulang Tahun ke 3 Darwish

Assalamualaikum. Sempena bulan September yang tinggal sikit ni, aku cuba juga untuk update ringkas di blog. Kenapa hujung bulan September? Tak hujung tahun je? Hahaha 😅😅😅

25 September 2016, genap usia si bujang aku Muhammad Zarif Darwish 3 tahun. Lately dapat komen juga dari mereka yang baca blog aku ni tanya keadaan Darwish. Alhamdulillah, Darwish sihat walafiat, petah bercakap, dah banyak perangai. Cuma baru-baru ni, dia kena rota virus. Tu nantilah aku cerita kalau ada masa.



Selamat hari lahir yang ketiga anak mama ayah. Semoga terus sihat dan menjadi anak soleh. Budak seusia dia ni, memang melasak, tantrum. Aku bukanlah spesis mama yang sabar tahap tertinggi, tapi aku cubalah sedaya-upaya bersabar, bertahan. 

Nak pula sekarang ni aku dah berbadan dua. Ye, Darwish akan jadi abang, insyaAllah. Doakan yang terbaik ye. Trauma lagi sebenarnya, tapi rezeki Allah yang indah ni, aku terima dengan syukur yang tinggi.



Tak tahu nak cerita apa lagi. Sebab umur Darwish baru 3 tahun, bukan 13 tahun. Kang aku cakap Darwish dah pandai masak gulai, jadi viral pula. Sekarang semua benda orang nak viral. Haish.


+ _ + terima kasih sudi baca entri aku. sila komen dan jemput datang lagi. + _ +

Tuesday, December 22, 2015

HIE Stage 2, Cooling Therapy, Fisioterapi, Ujian Pendengaran, Mild Autisme dan sekarang . . .

Assalamualaikum. Entri khas pasal Darwish. Dah 2 tahun 3 bulan si empunya nama Muhammad Zarif Darwish ni. Sekejap ke lama aku rasa? Typical mommy akan jawab, "kejap je dah besar". Tapi aku bukan tergolong dalam golongan typical mommy tu. Sebabnya sepanjang besarkan dia macam-macam benda yang dia kena lalui dan aku perlu tengok semua tu. Sama juga macam mak bapak lain, tengok anak besar depan mata. Okay, next !

Sejak aku lahirkan dia dan dia didiagnose HIE stage 2, barulah aku buka mata pasal 'perbezaan setiap anak'. Majoriti mak bapak yang anak dia lahir sihat walafiat (bukan semua), biasanya akan senang saja sebut, "anak aku boleh je minum tu, makan ni, pakai tu, main ni . . ." dan lain-lain. Itu normal bagi mereka sebab mereka tak pernah (mungkin) masuk duduk menginap dalam NICU mengadap anak dengan wayar segala dan hari-hari bersoal dalam hati, "kenapa anak aku tak macam anak orang lain?" dan paling membimbangkan bila tanya doktor dan jawapan doktor, "saya tak dapat bagi jawapan sekarang. Kita akan tengok perkembangan dia nanti macam mana. Dari situ baru kita tahu kat mana kekurangan dia". Dan itu yang beri aku jawapan, TIDAK ADA SEORANG MANUSIA PUN DALAM DUNIA INI SAMA HATTA KAU KEMBAR !

Paling terbaru berjumpa doktor, seperti biasa doktor akan tengok semula kes Darwish dari mula dia lahir. Darwish masa lahir kena CPR segala sebab tak dapat oksigen selama 10 minit. Mungkin, (yang aku boleh simpulkan based on apa yang doktor cakap), Darwish dapat bertahan dan melalui semua 'ujian' dia dengan baik sampai sekarang sebab dia lahir CUKUP BULAN (40 minggu) dan BERAT BADAN YANG BAIK (3.48 kg). Doktor beritahu, kebiasaannya bayi yang tak dapat survive ni lahir awal dan kurang berat badan. Wallahua'lam. Semua kuasa Allah.

Kebelakangan ni, aku terima whatsapps dari beberapa orang mommy yang baca blog aku pasal kes Darwish. Mereka berkongsi cerita pasal anak mereka yang lalui kes lebih kurang sama dengan Darwish. Aku sekadar dapat berkongsi sedikit pengalaman, sebab aku pun sentiasa mencari maklumat. Aku tahu kesukaran mereka mencari maklumat seperti aku. Semoga mereka juga tabah.

Selepas Darwish lahir, dia terus kena cooling therapy selama 3 hari. Tanpa pakaian tanpa susu. Macam mana kisah penyusuan badan aku kat Darwish? Mungkin akan ada satu entry khas pasal itu kalau aku mampu menaip. Tapi, dipendekkan cerita, pertama kali aku 'mengeluarkan susu badan' adalah dengan menggunakan pam susu di sebelah Darwish dalam NICU yang tengah cooling therapy. Boleh bayangkan betapa sebaknya aku waktu itu. Bukan pada hari pertama selepas Darwish keluar pun. Masa tu dah hari ketiga. Rezeki Darwish lahir tak terus dapat menyusu badan, tapi rezeki dia juga, alhamdulillah susu untuk dia banyak. Dan alhamdulillah, aku dapat susukan dia penuh susu badan sampai sekarang. Tapi, perjalanan menyusukan Darwish sepenuhnya bukan perjalanan yang mudah. 

So, manusia kat luar sana tolong jangan blame mak budak yang tak dapat susukan anak dorang sebab kita tak kan pernah tahu masalah mereka. Tahap stress tak dapat susukan anak ni bukan stress yang main-main. Kadang isteri mengadu kat suami susu kurang, suami walau tak boleh buat apa-apa, jadilah pendengar yang baik dan tenangkan isteri. Sebab isteri kalau dapat suami yang support dia, dia akan ada kekuatan luar biasa. Tolong jangan jadi suami yang bila isteri mengadu, kau pun keluar ayat, "dah tu abang nak buat macam mana? Bukan abang ada susu pun nak susukan baby!". Sila meninggal kalau keluar ayat ni. Apa perasaan isteri anda? FIkirlah sendiri sebab kau pun pandai sampai jadi seketul anak. Okay, next!

Selepas keluar Darwish dari NICU, maka bermulalah episod dia dengan unit fisioterapi. Semuanya alhamdulillah berjalan lancar. Darwish kena jalani fisioterapi sampai umur dia setahun 4 bulan. Lepas tu, therapist cakap dia nampak okay so boleh discharge. Alhamdulillah. Tips untuk ibu bapa kat luar yang ada tanya kat aku macam mana nak bawa anak pergi fisio. Kebanyakkan pesakit kat situ adalah cina (HUKM). Aku tak tahu kenapa kurang bangsa Melayu dan lain-lain. Bila berborak dengan therapist, dia cakap, bangsa yang kurang ni biasanya rasa "dah tak boleh buat apa dah". Sedangkan aku tengok ada budak tu memang 'kaku' je tapi mak ayah dia rajin bawa anak pergi fisio. So, therapist pesan kat aku, kalau nampak anak macam 'kekurangan' pergerakan atau apa-apa just datang hospital check. Macam kat HUKM, boleh saja datang tanya kat kaunter, daftar dan buat appointment. Ada bayaran sedikit dikenakan untuk setiap kali appointment. 


Bulan 4 hari tu, Darwish lalui ujian pendengaran pula. Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja. Bak kata doktor, semua maklumat yang diberi diterima masuk, cumanya kita tak tahu outcome dia. Sebab outcome semua adalah based on apa yang Darwish react terhadap maklumat apa yang dia terima. Contoh mudah, bila budak dah faham sesuatu, bila kita beri arahan, dia boleh ikut arahan tu dan bukan buat tak tahu yang memang dia tak tahu bukan dibuat-buat. Faham ke tak? Huhu. Macam kitalah, suruh makan kita pergi makan, bukan pergi mandi. Gitu.


Seterusnya, ujian terakhir yang Darwish pergi adalah ujian untuk tengok sama ada kes masa dia lahir dulu beri apa-apa effect atau tak untuk pembesaran dia sama ada dari segi fizikal atau mental. Cerita ni aku belum pernah share lagi kat sini. Mungkin akan ada entri untuk ini juga. Tapi, secara keseluruhannya, masa ni, doktor dapat detect Darwish "mild autisme for sensory issue". Macam mana doktor detect, ada kaedah dia. Next time aku share. Ye, aku mula-mula sangat cuak. Aku google segala cerita pasal autisme pasal sensory issue, tapi pada masa yang sama aku cuba positif, Darwish baik-baik sahaja. Satu benda yang mak ayah kena pegang, bila kita cuba untuk jadikan segala benda tu macam normal, insyaAllah penerimaan kita terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita juga normal. Sepanjang aku jaga Darwish, aku elak benda-benda yang buat dia dikategorikan "sensory issue" tu. Tapi aku tak adalah macam larang keras, cuma secara lembut biar dia tak terkejut. Mengurangkan secara perlahan-lahan.


Sekarang, macam mana dengan si buah hati pengarang jantung, Muhammad Zarif Darwish? Alhamdulillah, hari tu appointment dia. Doktor cakap, tak nampak pun dah dia mild autisme. Tapi kena sentiasa pantau. Syukur ya Allah. Cumanya, seperti biasa. Appointment dia dengan pakar akan berterusan sehingga dia boleh sekolah. Maksudnya sampai dia boleh belajar macam budak lain. Aku pula? Akan fikir adik untuk Darwish kot. Hahaha. Tapi, aku masih trauma. :'(


Kesimpulannya, anak kita tak akan pernah sama dengan anak orang lain. So, jangan sesekali samakan anak orang macam anak kita. Hormatlah setiap cara didikan setiap ibu bapa. Kalau kita nak tegur boleh, tapi beradablah. Macam mana kita tak suka orang tegur kita, macam itu jugalah orang tak suka ditegur. Sebagai ibu bapa zaman sekarang, cabaran yang kita terima tak sama macam yang mak ayah kita terima dulu. Oleh itu, kita kena sentiasa mencari maklumat berdasarkan sumber yang boleh dipercayai dan bukan sumber google semata yang kita tak tahu kesahihannya.



+ _ + terima kasih sudi baca entri aku. sila komen dan jemput datang lagi. + _ +

Monday, June 29, 2015

Ulang Tahun Perkahwinan Ketiga

Salam Ramadhan buat semua umat Islam. Agak terlewat, tapi belum terlambat. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari yang sebelumnya buat kita semua.

Sekali lagi, kami menyambut ulang tahun perkahwinan dalam bulan yang penuh barakah ni. Buat pertama kalinya, sambut di rumah sewa sendiri. Alhamdulillah, semoga Allah permudahkan segalanya buat keluarga kecil kami ni.

Tak ada apa yang aku harapkan dalam perkahwinan ni melainkan dapat bersama seorang suami yang akan sentiasa bersabar dan tak jemu dengan aku. Dapat terus kuat untuk menjadi ketua keluarga, dapat terus berusaha untuk jadi imam dalam keluarga. 

Suami isteri mana yang bahagia sentiasa. Suami isteri mana yang sentiasa gelak ketawa. Tapi, aku cuba percaya, cuba yakinkan jiwa, tanpa air mata, aku tak akan hargai pengorbanan dalam perkahwinan. Aku tak akan tabah untuk terus ke depan.

Buat suami tercinta, terima kasih untuk segalanya. Terima kasih sebab sentiasa diam kalau ada api tengah membara (hahahaha), terima kasih sebab layankan apa yang dibebel, terima kasih sebab makan saja masakan yang dimasak walau kurang garam gula, terima kasih untuk semuanya. Ayang tak mampu balas, tapi dengan hormat, tanggungjawab dan juga cinta, ayang harap kita terus bersama dengan permata hati sampai syurga Ilahi.





+ _ + terima kasih sudi baca entri aku. sila komen dan jemput datang lagi. + _ +

Friday, April 24, 2015

Apakah Lasertag?


Mendebarkan. Mengujakan. Menyeronokkan. Memenatkan. Eh! Tapi seriously, lasertag ni sejenis permainan yang sangat happening. Melainkan kalau kau tengah teruja terkinja-kinja menembak sasaran, kau didatangi seketul serangan yang rakus. Bahahaha. Yang itu, kau kena tangani dengan bijaksana.

Terima kasih kat Yaya sebab ajak aku dengan encik suami join game ni. Encik suami suka sangat sampai ajak repeat. Terima kasih juga kat pihak pengurusan Laser Warzone, Wangsa Walk Mall.


Aku sampai je dah ramai geng blogger berkumpul. Cabut undi untuk tahu team, aku dengan encik suami dapat team 6, tapi tidaklah kau nak main satu team dengan kekasih hati, dah nanti buah hati si Darwish nak letak kat mana. Bukan ada bibik nak jaga anak kau. So encik suami cabut undi lagi dapat team 3.

Sebelum peperangan sebenar, pihak pengurusan bagi kami usya port dulu. Tapi aku tak masuk sebab sibuk dengan anak. Anak baru sorang dah kelibut. Acaner nak tambah ni. Eh! Ada sesi penerangan juga diberikan sebelum bermain untuk tambah kefahaman. Tak susah pun main game ni, jangan risau.




Masa game betul, tempat tu gelap. Cuma nampak lampu yang ada kat jaket yang kita pakai tu. Kau mainlah sampai lebam sepanjang 7 minit game tu sebab kalau mati kena tembak pun, 5 saat je. Lepas tu hidup dah boleh tembak orang balik. Dengar 7 minit, tapi dia punya mengah penat punyalah terasa. Aku nasihatkan, sebelum main tu eloklah kiranya kau buat senaman ringan panaskan badan. Kalau tak, terimalah padahnya sakit peha urat segala macam kitaorang. Hahaha. Permainan ni mirip macam paintball, cuma bila kau kena tembak, memang langsung tak sakit. Kira macam guna laser je lah.

Memang best game ni untuk bawa keluarga. Berbaloi sangat. Ada pakej yang boleh korang pilih sama ada nak main sikit-sikit setakat merembes peluh atau kau nak main sampai lebam tengah malam bermandi peluh. Kau boleh pilih mana yang kau nak.


Sepanjang main kat sana, ada ruang menunggu disediakan bergantung kepada pakej yang kau pilih. So jangan risaulah kalau bawa anak kecil macam aku ni. Alhamdulillah, Darwish behave je sebab waktu tu waktu tidur dia. So, dia layan mata je lah. Nak kena cari buggy untuk dia nampaknya. Senang kalau nak tidur. Kesian kawan-kawan aku sebab kena pangku Darwish tidur sebab ada masa team aku dengan encik suami battle.


Pihak pengurusan pun ada sediakan makanan tengah hari untuk kami. Dalam party pakej pun ada disediakan makanan. Bolehlah pilih.


Dah habis berperang, haruslah ada pemenang ye dak. Team aku tak menang, tapi tidaklah yang tercorot. Hihi. Yang penting, keseronokan dan juga peluang dapat berkumpul dengan rakan blogger. Ni wakil team 6, blogger ida. Dapatlah kami nombor 4 dari 6 team yang berlawan.


Meh layan gambar sikit kat sana. Gambar dengan encik suami tak ada sebab dia sibuk menemuramah pihak pengurusan. Gaya macam ada peluang je nak repeat lagi.




Kalau korang nak try game ni, jangan malu jangan segan. Singgah je kat Wangsa Walk Mall ni. Tak silap aku kat e-curve pun ada. Boleh usya kat facebook dan instagram dorang. Berminat nak hubungi 03-4131 0006 untuk tempahan.


Facebook :

Instagram : 

Kredit gambar :


+ _ + terima kasih sudi baca entri aku. sila komen dan jemput datang lagi. + _ +

Monday, April 6, 2015

Suasana Baru


4 bulan oi !!! Aku tak update blog dah 4 bulan ! Memanglah mama Darwish ni langsung tak up to date. Apa yang aku dah buat selama 4 bulan senyap sorang bertapa aku pun tak tahu. Patut nuffnang aku miskin je. Baiklah, baiklah. Ini tandanya aku update blog. 

Nak mula menaip balik bukan senang. Kena hembus semangat dan azam yang kuat lagi jitu. Ini juga penanda bahawa entri ini adalah entri pertama bagi tahun 2015. Selamat tahun baru korang. Pangggg, minta pelempang !

Disebabkan entri tahun baru ^_^, aku kongsi cerita best. Yes, sangat best. Darwish sudah discharge daripada rawatan fisioterapi dia. Yeay ! Alhamdulillah. Nanti aku cerita betul-betul kisah hari terakhir dia dekat rawatan fisioterapi tu eh. InsyaAllah. Tak janji.


Dan, yang paling best juga, alhamdulillah, keluarga kecil kami ni dah duduk sendiri. Menyewa saja. Walaupun menyewa, tapi sangatlah seronok sebab dapat berdikari, harap tak susahkan mak abah lagi. Pasal rumah sewa pun, nantilah aku share. Kali ni intro je dulu bagi panas balik blog ni. 




+ _ + terima kasih sudi baca entri aku. sila komen dan jemput datang lagi. + _ +

Thursday, September 25, 2014

Selamat Hari Lahir Anak


Buat permata hati mama dan ayah tersayang,
Muhammad Zarif Darwish bin Mohd Nasrul Hadi.

Hari ini 25hb September 2014, genaplah usia kamu setahun. Mama taipkan sesuatu di blog usang mama ni masa kamu tengah tidur dibuai mimpi indah. Dan mama tahu, kejap lagi kamu akan ek ek ek sambil konon-konon kesat mata kelihatan seperti tidur terganggu tapinya kamu nak susu. Tak pe, mama faham. Eh, ke kamu hari-hari macam tu sebab dengar ayah dengkur kroh kroh kroh? Takpe, takpe, nanti lama-lama kamu biasalah macam mama ni. >_< 



Mama nak ucapkan Selamat Hari Lahir buat kamu yang pertama. Di usia ini, banyak sangat pencapaian cemerlang yang kamu tunjukkan. Gigi pun dah nak 8 batang. Berjalan pun dah habis lantai kamu ukur. Bila mama tanya, "Darwish mana?", cepat saja kamu angkat tangan sambil tersengih. Dapat saja buku di tangan, terus sebut A. Subhanallah, Maha Suci Allah yang menjadikan kamu sungguh bijak.



Darwish anak mama dan ayah, mama nak katakan sesuatu di sini. Mama minta maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki kerana kamu merasa sakit perit yang teramat di usia kamu satu hari, setahun yang lalu. Mungkin kerana lemahnya mama meneran kudrat untuk mengeluarkan kamu dari rahim mama, menyebabkan kamu terpaksa bertarung nyawa untuk terus berada di sisi mama dan ayah. Di usia kamu sehari itu, kamu telah dikenalkan oleh Allah apa itu puasa kerana kamu tidak boleh menyusu. Di usia kamu sehari itu, kamu mampu menahan sejuk dunia kerana tidak boleh berpakaian seurat benang. Terima kasih sayang sebab terus kuat. Bertahanlah kerana di masa depan nanti lagi banyak ranjau yang kena kamu tempuh.



Darwish, mama doakan kamu menjadi anak yang berjaya dunia dan akhirat, insyaAllah. Semoga kamu sentiasa menjadi abang yang baik dan bertanggungjawab bila ada adik-adik nanti kalau ada rezeki, sentiasa tahu untuk merendah diri dan menghormati orang lain. Paling mama mahu, kamu kena pegang dalam hidup ini erti sabar, syukur dan redha. InsyaAllah, kamu akan sentiasa kuat.

Wahai harta mama dunia akhirat, Muhammad Zarif Darwish. Mama dan ayah tak mampu untuk janjikan kesenangan hidup untuk kamu. Tapi, yang mama mampu lakukan, mama korbankan keinginan mama untuk bekerja di luar mencari rezeki membantu ayah demi memastikan mama ada di sisi kamu. Ayah bekerja kuat untuk kita. Semoga, bila kamu besar nanti, kamu tak rasa kurang kasih sayang juga perhatian. Mama dan ayah akan cuba sedaya mampu untuk mendidik kamu. 



Akhir sekali, terima kasih sayang untuk setahun yang sangat membahagiakan ini. Selamat Hari Lahir buat permata hati sulung mama dan ayah.

Ikhlas dari mama.



+ _ + terima kasih sudi baca entri aku. sila komen dan jemput datang lagi. + _ +

Wednesday, September 10, 2014

Fisioterapi dan Rumah Sewa

Kalau tahun lepas, masuk je bulan September, aku dah berdebar sangat-sangat. Tiap hari dah fikir cara-cara nak push keluarkan Darwish dari perut. Walaupun hampir setahun berlalu, kenangan tu masih jelas ada kat kepala ni. Darwish pun lebih kurang dua minggu lagi dah nak setahun. Cepatnyalah bujang ni membesar. Tup-tup nak setahun juga fully breastfeed Darwish. Alhamdulillah. Rezeki Darwish. Mama nak dapat Ijazah Sarjana Muda Penyusuan pula ni. >_< Sempena nak setahun, macam biasa, aku botakkan lagi Darwish. Suka tengok dia botak. Seksi. Lol.


Semalam, sesi fisioterapi Darwish macam biasa. Setelah sebulan bercuti raya, bila sampai unit fisio, tengok Darwish teruja. Semangat berkobar tak macam dulu tidur lah, malu-malulah. Therapist pun cakap nampak peningkatan yang positif. Tapi, tak tahulah bila boleh discharge sebab still lagi ada appointment. Tak apalah, asalkan Darwish sihat walafiat. Awal bulan depan pula appointment pakar. Harap semuanya baik-baik. Amin. Dalam video ni Darwish masukkan bola kat tempat gol tu. Sebelum tu, therapist ajar sekali je. Aku ingat dia tak buat atau dia main bola masuk dalam mulut ke. Rupanya elok je dia ikut arahan. Bangga tambah sebak rasa. Good job sayang.


Sepatutnya, bulan ni kami masuk rumah sewa. Menyewa saja dulu, belum mampu membeli rumah lagi. Harap dapat buat doa selamat masuk rumah dengan sempena Darwish setahun. Tapi, harapan je kot. Hahaha. Banyak kekangan lagi nak masuk rumah tu. Semoga semuanya dipermudahkan. Tak sabar nak duduk sendiri, nak deko-deko (angan-angan macam rajin sangat pui!). Jangan terkejut lepas ni blog ni jadi blog deco by ieza (muntah aku menaip bahaha). 

Hari-hari dah termimpi-mimpi nak susun ini kat mana, itu kat mana. Paling best part dapur nak kemas gula garam segala walaupun masaknya belum tentu. Aku takut nanti Darwish je yang banyak mengemas. Tiba-tiba bangun pagi, "mama, bangun breakfast. Darwish dah masak!". Kau mampu? Hahaha.


Okay, aku dah melalut. Semoga September yang aku tunggu-tunggu ni be nice dengan kami sekeluarga. Semoga urusan pindah ke rumah sewa dipermudahkan.



+ _ + terima kasih sudi baca entri aku. sila komen dan jemput datang lagi. + _ +

Monday, August 11, 2014

Syawal 1435 Hijrah; 2014


Assalamualaikum semua. Salam syawal yang dah di pertengahan. Alhamdulillah, kita masih bernafas, masih diberi peluang merasa nikmat Aidilfitri. Siapa sangka, kita masih bergelak ketawa lagi kat Malaysia ni, tapi saudara kita di Gaza sedang melalui situasi yang sangat menyedihkan. Semoga saudara kita di sana sentiasa kuat dan sabar.

Raya kali ni sangat berbeza. Sama ada dari segi persiapan mahupun merayakannya. Kenapa? Sebab ini adalah Syawal pertama buat si bujang aku, Darwish. Keluarga belah encik suami pula, Darwish cucu pertama dan kebetulan tahun ini giliran kampung beliau. Havoc sangat rasanya. Untung Darwish baju melayu sampai 2 pasang. Nenek sana buatkan, nenek sini belikan. So, baju melayu raya tahun depan dah ada. Save duit ayah. Tema pun dah tertetap pula. Hihi.


Raya sakan tahun ni. 2 hari sebelum raya, kami dah balik ke Muar, Johor (kampung belah mak mertua). Malam raya pertama dah balik ke Shah Alam semula beraya dengan keluarga aku. Raya ketiga, ke Ijok, Perak pula kampung belah ayah mertua. Jumaat dah balik semula ke Shah Alam. Hasilnya anak dengan ayah demam raya. Nasib baik mama kuat. Hahaha.


Apa-apa pun, dikesempatan ni, aku sekeluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin atas salah dan silap, terkasar bahasa, tercoret yang menggores rasa.

Layanlah gambar raya kami di raya pertama, Syawal 1435 Hijrah.









+ _ + terima kasih sudi baca entri aku. sila komen dan jemput datang lagi. + _ +

Thursday, July 3, 2014

Susu Ibu vs Susu Formula

Assalamualaikum semua. Entri kali ini mungkin sedikit sensitif, sedikit menyentuh hal-hal sulit, sedikit menyentuh hal hati dan kewibawaan seorang yang bergelar ibu, mak, mama, mommy etc TAPI percayalah, ianya hanyalah perkongsian biasa hari-hari yang selalu didengari, selalu jadi isu oleh kebanyakkan wanita yang sudah mempunyai anak kecil a.k.a bayi.

Kenapa nak cerita pasal susu ibu, susu formula segala? Al-kisah bermula masa aku dapatkan suntikan pneumococcal yang kedua untuk Darwish. Kebetulan, kami sekeluarga last and the only patient yang ada kat klinik favourite aku dari dulu tu. Kebetulan, time rehat dorang pukul 1, aku sampai dalam 11 lebih. Borak-borak dengan doktor terlajak 5 minit lebih pukul 1. Doktor ni bagus sangat bagi aku sebab dia akan consult patient sampai patient faham dan puas hati. Tak rugi bayar mahal-mahal pun.

Berkenaan dengan kisah susu ibu ni, doktor mula cerita bila tanya pasal diet Darwish. Pola pemakanan segala. Aku pun cakap aku fully breastfeed Darwish dan bagi Darwish makan puri buah plus oat buah since dia dah ada gigi. Pasal pemakanan bayi pun ada sentuh juga, tapi entry lainlah ye.

Doktor bagitahu, kebanyakkan bayi yang fully breastfeed (bukan semua), badan mereka sedang-sedang sahaja bila dah mula lasak sebab susu ibu senang dihadam. Bukan semua yang fully breastfeed badan montel ye. Banyak point, tapi yang aku boleh rumuskan, antaranya bila bayi menyusu ibu sepenuhnya sehingga umur 2 tahun, mereka kurang mendapat sakit. Gejala ni boleh dilihat bukan dalam masa terdekat, tapi masa mereka sudah mula masuk ke sekolah, bercampur dengan kanak-kanak lain. Kat situ, environment sangat mencabar tahap imunisasi. Selain tu, mereka lebih bijak. Itu yang doktor cakap. Harapan semua ibu bapa begitulah.

Aku tak nak cerita kurang lebih susu formula sebab semuanya terletak di tangan masing-masing. Masing-masing yang buat pilihan. Aku pun tak tahu sampai bila rezeki susu badan ni akan ada, tapi aku akan cuba sedaya-upaya untuk teruskan mencuba memberi.

Doktor ada cakap, 2 tahun yang sangat bernilai ni, tak akan kembali dan ramai ibu bapa yang cakap, "kalaulah boleh diulang kembali masa". Banyak yang doktor kongsikan antara alasan yang selalu ibu-ibu bagi bila tak beri susu badan. Tak sempat sebab kerja, susu tak ada, bayi serasi dengan susu formula, bayi tak pandai menyusu badan, dan banyak lagi. Seriously, pernah juga aku macam tu. Terasa down bila susu badan drop. Lagi-lagi bila datang bulan. Aku luahkan rasa tu kat doktor, kena syarahan pula. Hahaha.

Doktor cakap, kenapa orang dulu tak ada susu formula, boleh je bagi susu badan? Kerja menoreh, kerja masuk sawah bendang. Aku diam, dengar saja. Islam suruh beri susu badan kepada bayi sehingga dua tahun. Kenapa? Mesti ada sebabnya. Islam beri bantuan mencari ibu susuan. Kenapa? Mesti ada sebabnya. Aku terkesima. Ye, pernah suatu masa dulu, aku bercakap dengan encik suami tentang ibu susuan untuk Darwish kalau aku tak mampu. Alhamdulillah, Allah beri rezeki aku mampu menyusukan Darwish.

Doktor cakap lagi, nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Zaman ni, ada ubat yang merangsang penghasilan susu. Rupanya ada ubat yang boleh membantu ibu-ibu di luar sana. So, jangan risau, boleh dapatkan dari doktor yang merawat anda ye. Aku pun baru tahu. Kalau tak, memang tak tahu. Lepas ni, kalau susu drop, bolehlah minta ubat dari doktor.

Ramai yang cakap kat aku, ramai sangat sampai aku dah tak terkira, "kau duduk rumah, tak kerja, bolehlah bagi full breastfeed. Tak payah nak pam kat tempat kerja". Kau rasa kalau dapat ayat macam tu? Bagi aku yang TAK KERJA ni, aku jaga anak aku 24 jam. Kau yang kerja, kau bangun pagi, siap-siap nak pergi kerja, siapkan anak hantar baby sitter, lepas tu kau pergi kerja, kau tak hadap pun anak kau sampai kau balik kerja. Jangan nak cakap tak ada masa langsung kau nak pam susu. Malas dengan rajin je. Nak dengan tak nak je. Bagi orang yang bekerja, selalu sangat tengok orang yang TAK BEKERJA kat ofis kat site pakai baju kena gosok keluar rumah pagi balik petang bulan-bulan dapat gaji ni macam orang tak ada kerja. Bagi aku yang pernah bekerja makan gaji dan jadi suri rumah, suri rumah lagi banyak kerja nak kena buat. Kau balik rumah ambil anak dari baby sitter hari dah nak gelap. Rumah kau anak kau bukan sepahkan pun. Anak kau buat sepah kat rumah orang. Anak kau kencing berak siang kat rumah orang. Paling aku hangin bila mak ayah salahkan pengasuh, cakap tak pandai jaga anak dorang kalau anak sakit ke, jatuh ke, etc. Macam kelakar, sebab kalau kau pandai kenapa kau tak jaga. Sorry aku teremo sebab asyik aku yang tak kerja ni kena blame dengan orang yang kerja. 

Ada parents doktor ni datang bawa anak kurus sangat. Bila doktor cakap, "saya risau sebenarnya tengok perkembangan anak awak ni tak follow yang sepatutnya...", mak budak ni cakap, "doktor jangan risau. Anak saya memang semua macam ni. Okay saja". Tapi doktor peliklah kenapa bawa jumpa doktor kalau semua okay. 

Doktor pun ada cakap, ada parents suka anak nampak gebu cubby segala bila minum susu formula, sebab serasi. Tapi, banyak yang parents kena tahu bila cubby kena berjaga-jaga sebab takut obesiti. Terus aku teringat dekat anak buah aku. Memang cubby gila. Kau bayangkan, umur 5 tahun, berat 33kg, perempuan. Ohmai!

Apa-apa pun, semuanya terserah kepada ibu bapa masing-masing. Bulan puasa ni lagilah sangat-sangat mencabar kekuatan aku bila fully breastfeed. Sangat mencabar sampaikan aku rasa aku lagi teruk dari adik aku yang last tu. Pukul 6 je aku dah lembik sangat, haus lapar sangat. Susu memang drop. Memang aku makan milkbooster dan supplement masa sahur dan malam untuk mantain susu badan. Aku sentiasa ingat, selagi ada demand, insyaAllah ada supply. Di mana ada usaha, di situ ada kejayaan.

Aku tak ada niat ke apa nak cakap susu ibu bagus ke tak, susu formula bagus ke tak. Aku cuma kongsikan input yang aku dapat. Masing-masing ada pilihan masing-masing.


+ _ + terima kasih sudi baca entri aku. sila komen dan jemput datang lagi. + _ +

Tuesday, July 1, 2014

Selamat Menyambut Ramadhan dan Selamat Ulang Tahun Perkahwinan


Assalamualaikum semua. Alhamdulillah, kita sedang melalui bulan mulia, bulan Ramadhan. Dah masuk hari ketiga pun. Kejap sangat masa berlalu. Tak macam masa zaman budak-budak dulu, rasa lama sangat nak habis puasa sebab aim raya. Kes nak kumpul duit raya. >_<

Apa beza Ramadhan kali ni bila dah masuk 3 hari? Bagi aku personally, sangat berbeza. Bukan 3 hari ni saja, tapi dalam 3 Ramadhan tahun yang lepas. Bermula kisah Ramadhan masa pertama kali bergelar isteri, diikuti kisah Ramadhan bakal bergelar mama yang memaksa aku ponteng puasa 20 hari sebab keadaan Darwish dalam perut yang sangat lemah dan tahun ini, alhamdulillah, Allah temukan aku lagi dengan Ramadhan, bersama anugerah terindah, kisah Ramadhan dengan bergelar mama kepada Muhammad Zarif Darwish. Subhanallah, besar sungguh nikmat Allah kepada aku. 

Bila bergelar mama yang fully breastfeed ni, seriously, sangaaaaaaaaaaaaat mencabar. Even Darwish dah start makan, dia masih menyusu badan sepenuhnya dan masih belum bercampur susu. Alhamdulillah, murah rezeki susu untuk Darwish ni. Cumanya, hari pertama puasa hari tu, aku lembik sangat-sangat. Haus dan lapar yang amat. Tak tahu nak explain macam mana, tapi rasa nak pitam. Mula puasa hari tu kat rumah mertua. Mak mertua dah start masak, aku masih bantai mentido. Menantu hantu sunguh! Tapi, berjaya puasa hari pertama.

Semalam pun masih tak kuat lagi serasikan badan. Pukul 4 petang dah rasa nak pengsan, nak tumbang. Mungkin juga faktor cuaca; el-nino, ni kan. Darwish pun asyik haus saja. Kesian kat anak, tapi risau juga tak tahan berpuasa. Alhamdulillah, dapat penuh puasa 2 hari. Dan hari ni, terus mencuba untuk berpuasa penuh juga, dan hari-hari seterusnya. Semoga Allah cukupkan tenaga, cukupkan susu juga untuk permata hati tercinta. Amin.


Selamat Ulang Tahun Perkahwinan yang kedua buat kami suami isteri. 29 Jun 2014 bersamaan 1 Ramadhan 1435H. Alhamdulillah, semoga berkat bulan Ramadhan ini, perkahwinan kami terus dilimpahi rahmat dan sentiasa dalam keberkatan lindungan Allah. Semoga rumah tangga terus disirami dengan kasih sayang yang berpanjangan. 


Buat encik suami tercinta, terima kasih atas segala-galanya. Terima kasih atas kasih-sayang, terima kasih atas nasihat dan teguran, terima kasih kerana menjadi suami yang kebal dengan karenah isteri, terima kasih kerana bersusah berlelah memerah keringat buat isteri dan anak. Semoga kami mampu menjadi aset yang membawa kamu ke syurga.




+ _ + terima kasih sudi baca entri aku. sila komen dan jemput datang lagi. + _ +

Tuesday, June 17, 2014

Hippopo Baby Spa & Wellness Malaysia

Assalamualaikum. Cerita semalam. Few of my friends tanya dekat facebook dan instagram, kat mana bawa Darwish berenang. Maaf tak dan balas semalam sebab melayan Darwish dan akhirnya tertidur, gaya dah macam aku yang penat berenang. I feel you baby. Hahaha.

Korang yang nak bawa baby pergi ‘kenal air‘, Hippopo Baby Spa & Wellness ni sangat-sangat sesuai. Sebabnya, air mandi dalam tab tu tak sejuk macam dalam pool, tak ada klorin dan bersih, ahli fisio yang sangat ceria dan berkelulusan, so tak payah risau baby lemas ke pe, kau boleh tangkap gambar banyak-banyak. Gitu.


Sekarang ada promosi opening cawangan ketiga dorang kat Puchong. Aku dengan encik suami bawa Darwish kat sini. Tapi, kena ingat! Promo ini avail untuk weekday sahaja dan HINGGA HUJUNG JUN NI SAHAJA! So, siapa-siapa yang nak bawa baby masing-masing tu, bolehlah book sekarang. Kena call dan book, jangan walk in. Kang sia-sia kau menapak jauh-jauh, tapi tak ada slot untuk kau. Harga promosi hanyalah RM66 sahaja. 


Macam aku bagitau tadi, aku pergi cawangan dorang yang ketiga, dekat Setia Walk Mall, Puchong. Berdepan dengan Tesco Extra, dalam Taman Wawasan. Ikut signboard Taman Wawasan tu, jumpalah. Dalam mall, Hippopo Baby Spa & Wellness ni kat grand floor. Tak jumpa? Korang call je. Staff dorang baik je jawab. Aku ni berkali-kali call tanya. = , =‘ Lagi dua cawangan dorang ada kat Centrepoint Bandar Utama, Petaling Jaya dan juga Great Eastern Mall, Kuala Lumpur. 

Masa aku sampai, memang tak ada parents lain bawa baby. So, seronok sangat. Sampai tu, kena isi borang segala dan buat bayaran terus. Dah settle, bolehlah berenang. Tak menyabo sangat kau nak berenangkan.


Mula-mula, bagi Darwish cool dulu. Bagi kenal environment. Kang terkejut melalak, dah rugi duit kau. Sebab, once baby melalak dan kau tak dapat nak coolkan baby, kau rasa nak ke dia berenang dengan happy? Ketenangan itu penting beb. Hahaha. Alhamdulillah, Darwish sangat enjoy aktiviti dia. Lagipun sis Fuza yang layan Darwish ni sangat-sangat friendly. So, highly recommended dia ni. Langsung tak kekok layan Darwish. Kena kencing pun senyum je. Sorry auntie, Darwish tak tahan nak kencing. Hahaha.


Dah settle bermesra-mesra, barulah buka baju segala dan tukar lampin untuk berenang. Waterproof lampin ni. Kalau baby kencing berak, taklah bersepah najis kat tab tu. Tab pun ikut umur baby. Bukan suka-suka nak masuk. Ada 4 jenis tab. Tapi aku ada 3 gambar je sebab masa ambil gambar, kat tempat tab keempat diguna untuk sesi interview mencari staff baru. Siapa yang ada kelayakan bolehlah memohon ye.


Tab pertama ni, untuk baby under 6 months tak silap aku. Baby boleh masuk dalam ni dari umur 2 bulan. Baby memang ada skill berenang sejak dalam perut, tinggal nak ingatkan balik je. 


Tab kedua ni untuk 6 bulan dan ke atas. Muat untuk 3 orang dalam satu-satu masa. Jangan risau pasal bakteria segala, sebab tab ini memang ada fungsi khas untuk menyah segala bakteria. 


Tapi, kalau kau rasa mampu dan kedekut nak berkongsi tab, silalah ke tab yang ketiga. Tab ni dalam ruang dia sendiri, tertutup dengan langsir, lebih privasi. Hanya tambah lagi RM30, maka privasi milik anda. Gitu.

Dan tab keempat yang aku tak dan nak snap gambar tu, ruang privasi juga. Tapi khas untuk baby yang ada masalah macam kulit sensitif dan seangkatan dengannya. Yang mana, tak sesuai mandi bercampur. Gitulah.



20 minit, Darwish berenang guna round float neck, lepas tu lagi 10 minit tukar kepada pelampung yang duduk, since Darwish dah boleh duduk. 


Lepas berendam 30 minit dalam tab, part berurut pula. Dorang guna minyak khas. Time ni, korang tanyalah apa-apa ye. Encik suami siap tanya harga tab berapa. Hihi. Macam Darwish, aku pilih diurut guna minyak khas, so extra RM5. Masa berurut ni, tak adalah skema sangat. Darwish still boleh main-main. Tv pun ada pasang cerita kartun, mak ayah pun suka. Haha. 


Selesai semua, sis Fuza terangkan pasal pakej yang ada. Berminat? Just bagitahu dorang. Okay, kalau ada soalan apa-apa, bolehlah tanya aku kalau aku tahu aku jawab. Tapi, tanya dorang lagi elok. Confirm semua soalan dorang boleh jawab. Tak rugi bawa baby ke sini tau. Sangat menyeronokkan. Baby pun sangat enjoy, insyaAllah. Kalau tak salah pendengaran aku, cawangan hippopo ni akan dibuka di Penang dan Johor. So orang Penang dan Johor, nantikan kedatangan hippopo di tempat anda.





+ _ + terima kasih sudi baca entri aku. sila komen dan jemput datang lagi. + _ +

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...